TAMPARULI: Lebih 1,000 penduduk bakal terjejas ekoran Jalan Kiwoi-Lingga-Bambangan di sini terpaksa ditutup kepada pengguna ekoran kejadian tanah runtuh dan pergerakan tanah bermula petang ini.
Laluan itu penting kepada penduduk Kiwoi, Lingga, Togop, Bambangan Lama, Namadan dan Rangalau Lama yang kemungkinan terputus hubungan kerana ketiadaan jalan alternatif lain.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran berkata, penutupan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini memandangkan berlaku pergerakan tanah di kawasan terbabit yang membahayakan keselamatan pengguna.
“Penutupan itu juga disebabkan pergerakan tanah yang masih aktif seterusnya memberi laluan kepada kerja pembinaan laluan sementara. Penutupan itu berkuatkuasa sehingga dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian tanah runtuh dan pergerakan tanah di laluan itu berpunca hujan lebat berterusan di kawasan terbabit lebih 10 jam menyebabkan permukaan laluan di kawasan berbukit itu menjadi lembut.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, meninjau kejadian itu, sambil meminta JKR membina laluan alternatif dengan segera untuk memastikan penduduk dapat keluar masuk seperti biasa. – UTUSAN










