Zi Yu-Noraqilah buru pingat emas Kejohanan Remaja Dunia

Zi Yu-Noraqilah buru pingat emas Kejohanan Remaja Dunia

Zi Yu-Noraqilah mengambil masa selama 46 minit sebelum beroleh kemenangan ke atas pilihan kelapan itu 15-13, 12-15, 15-7 di Pusat Kecemerlangan Nasional di India, hari ini. - IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu perempuan negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan Cao Zi Han-Chen Fan Shu Tian dari China pada separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Guwahati Assam, India, hari ini.

Zi Yu-Noraqilah mengambil masa selama 46 minit sebelum beroleh kemenangan ke atas pilihan kelapan itu 15-13, 12-15, 15-7 di Pusat Kecemerlangan Nasional.

Pada perlawanan akhir, esok, gandingan muda Malaysia yang memegang status selaku pilihan ketiga itu akan berdepan satu lagi beregu China, Tan Ke Xuan-Wei Yue Yue.

Ke Xuan-Yue Yue mengejutkan pilihan pertama, Kodchaporn Chaicana-Pannawee Polyiam dari Thailand 17-15, 11-15, 15-10 dalam masa 52 minit.

Zi Yu ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir berkata, dia amat berharap percubaan keduanya beraksi dalam perlawanan akhir menghadiahkan pingat emas.

“Kali ini saya mahu cuba mendapatkan pingat emas untuk negara saya kerana tahun lalu saya kalah dalam perlawanan akhir,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas pula mengenai aksi separuh akhir tadi, pemain berusia 15 tahun itu berkata, oleh disebabkan pernah bertemu beregu China itu sebanyak tiga kali sebelum ini, mereka dapat membaca taktikal permainan lawan.

“Malah dalam set ketiga kami mengubah cara servis kami dengan lebih kerap melakukan servis ‘flick’ kerana dalam set pertama dan kedua kami hanya membuat servis pendek.

“Usaha kami untuk memecahkan rentak permainan lawan juga berhasil dan lebih fokus kepada strategi permainan kami,” katanya.

Noraqilah pula yang bakal beraksi dalam final pertamanya, esok pula berkata, kesabaran amat penting apabila berdepan beregu China dan menanti melancarkan serangan apabila peluang terbuka.

“Fokus amat penting dan jika tiada peluang kami cuba bertahan sebaik mungkin, sebelum membalas kembali dengan serangan,” katanya.

Sementara itu, Noraqilah yang turut beraksi dalam satu lagi separuh akhir bersama Loh Zi Heng dalam beregu campuran terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas akur kepada gandingan Taiwan, Bing Fu Hung-Yun An Chou 15-13, 12-15, 8-15 dalam masa 40 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN