PETALING JAYA: Beregu campuran remaja negara, Loh Zi Heng-Noraqilah Maisarah Ramdan menepati sasaran selaku pilihan pertama apabila mara ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2025 di Guwahati Assam, India, esok.
Pada peringkat 16 terbaik, hari ini, Zi Heng-Noraqilah mengambil masa selama 30 minit untuk membenam wakil China, Feng Yi Lang-Zhang Jia Han 15-13, 17-15 dalam masa 30 minit di Pusat Kecemerlangan Nasional.
Esok di suku akhir, pasangan muda itu bakal berdepan pilihan kesembilan, Ihsan Lintang Pramudya-Rinjani Kwinnara Nastine dari Indonesia.
Noraqilah ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata, dia gembira berjaya melangkah sejauh suku akhir kerana laluan mereka dalam undian utama tidak mudah.
“Kami perlu memastikan setiap pukulan kami berkualiti dan ia bukan satu tugas mudah untuk mengekalkan persembahan sedemikian,” katanya.
Pemain berusia 18 tahun itu berkata, kadang kala mereka hilang fokus dan amat penting untuk saling mengingati agar sentiasa menjaga rentak permainan yang lebih konsisten.
Zi Heng turut sependapat dengan pasangannya itu yang mereka perlu sentiasa bermain baik memandangkan lawan yang mereka temui bukanlah calang-calang pencabar.
“Bagi kami ini satu kemenangan bermakna kerana berturut-turut kami terpaksa be depan beregu China, jadi, tak mudah,” katanya.
Turut mara ke suku akhir, satu lagi beregu campuran Malaysia, Tan Zhi Yang-Nicole Tan yang tidak berdepan masalah menyingkirkan Adithya Kiran-Sakshi Kurbkhelgi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) 15-6, 15-7 hanya dalam masa 15 minit.
Pilihan kelima itu bakal mengharungi laluan lebih sukar apabila dijadual bertemu pasangan Korea Selatan, Lee Hyeong Woo-Cheon Hye In yang merupakan pilihan kedua.
Sementara itu, Ayu Fu Sheng menjadi wakil tunggal negara berjaya menempah slot ke peringkat lapan terbaik dalam perseorangan lelaki.
Fu Sheng menewaskan Shunki Hagiwara dari Jepun 15-9, 15-5 dalam masa 22 minit dan di suku akhir, esok, dia bakal berdepan ujian lebih berat menentang pilihan kedua, Richie Duta Richardo dari Indonesia.
Bagi perseorangan perempuan pula, langkah Oo Shan Zi terhenti di peringkat 16 terbaik selepas tewas di tangan wakil Jepun, Yuzuno Watanabe 11-15, 12-15 dalam masa 27 minit. – UTUSAN