PETALING JAYA: Ikon wushu negara, Chai Fong Ying melahirkan keyakinannya terhadap barisan atlet muda yang bakal membawa cabaran Malaysia dalam Sukan SEA 2025, Disember ini.
Keyakinan itu disuarakan Fong Ying selepas menyaksikan prestasi semasa wushu negara terutamanya di Kejohanan Wushu Dunia di Brasilia, Brazil, baru-baru ini apabila meraih lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa.
“Saya boleh katakan, prestasi atlet muda sekarang adalah lebih baik, berdasarkan keputusan dan pencapaian yang dilakukan dalam kejohanan baru-baru ini.
“Saya percaya berdasarkan prestasi konsisten mereka dan latihan berintensiti tinggi mereka, saya percaya mereka boleh lakukan lebih baik dan mencipta sesuatu kejayaan yang tidak boleh dilupakan seterusnya kepada negara,” katanya.
Pada kejohanan tersebut, Malaysia meraih lima pingat emas menerusi acara Jianshu dan Qiangshu lelaki (Si Shin Peng), Daoshu wanita (Lee Jia Rong), Nangun wanita (Tan Cheong Min) serta Duilian wanita (Jia Rong, Cheong Min dan Pang Pui Yee).
Cheong Min turut menyumbang perak dalam acara Nandao manakala dua gangsa hadir menerusi Jia Rong (Gunshu wanita) serta trio Shin Peng, Clement Ting dan Bryan Ti (Duilian lelaki).
Mengimbau kembali ketika bergelar atlet, Fong Ying berkata tidak banyak perbezaan terutamanya daripada segi latihan dan bimbingan daripada jurulatih.
“Mungkin ada sedikit perbezaan daripada segi dana. Saya percaya MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) memberi sokongan penuh,” katanya.
Fong Ying merupakan pemenang pingat emas di Kejohanan Wushu Dunia tiga edisi pada 2005, 2007 dan 2011 malah turut memenangi emas di Sukan Asia 2006 dan 2010.-UTUSAN