MADRID: Vinicius Junior meledak dua gol untuk membantu Real Madrid menewaskan Villarreal 3-1 semalam, sekali gus melonjakkan pasukan itu ke puncak La Liga.
Los Blancos kini dua mata di hadapan juara bertahan Barcelona, yang akan berkunjung ke Sevilla pada hari ini, selepas bangkit daripada kekalahan memalukan minggu lalu dalam derby Madrid.
“Saya bermain dengan sangat baik dan saya mahu terus seperti ini, mengekalkan keyakinan dan memberikan lebih banyak lagi.
“Kami berasa baik… apabila kami kembali (dari rehat antarabangsa), kami akan berdepan perlawanan besar dan kami perlukan keyakinan,” kata Vinicius kepada Real Madrid TV.
Pemain sayap itu memulakan musim dengan kurang baik tetapi kini telah menemui rentak permainan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
“Vini bermain dengan sangat baik dan dia amat berpengaruh, saya sangat gembira untuknya,” kata bos Madrid, Xabi Alonso. – AFP