Verstappen buru gelaran dunia kelima

Verstappen buru gelaran dunia kelima

Max Verstappen. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTIN: Perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) kembali terbuka selepas Max Verstappen mempamerkan pemanduan cemerlang untuk menjuarai Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Pelumba Red Bull itu kini hanya ketinggalan 40 mata di belakang pendahulu Oscar Piastri selepas meraih kemenangan ketiga dalam empat perlumbaan terakhir, sekali gus menghidupkan semula peluang untuk merampas kejuaraan daripada genggaman McLaren.

“Ya, sudah tentu peluang itu ada. Kami hanya perlu teruskan prestasi seperti ini hingga ke penghujung musim. Kami akan lakukan apa sahaja yang termampu,” kata Verstappen.

Verstappen yang turut memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu lalu kini mengumpul 306 mata, manakala Piastri kekal di puncak dengan 346 mata dan rakan sepasukannya, Lando Norris di tempat kedua dengan 332 mata.

Menariknya, McLaren yang sudah mengesahkan kejuaraan konstruktor musim ini dilaporkan menghentikan kemas kini pada jentera mereka bagi memberi tumpuan kepada pembangunan kereta 2026, menyebabkan kedua-dua pemandunya kini berdepan tekanan hebat.

“Itu hujung minggu yang luar biasa buat kami. Saya tahu perlumbaan tidak akan mudah, tapi perbezaan di stint pertama memberikan kelebihan dan kami berjaya mengekalkannya hingga ke garisan penamat,” katanya.

Dengan 119 mata daripada 135 yang ditawarkan dalam lima perlumbaan terakhir, Verstappen kini menjadi ancaman utama menjelang baki lima GP yang turut menampilkan dua perlumbaan pecut.

Aksi konsisten pelumba Belanda berusia 28 tahun itu turut mengimbau kenangan keajaiban Kimi Raikkonen pada musim 2007, apabila bintang Ferrari itu menamatkan saingan sebagai juara dunia selepas menewaskan dua pelumba McLaren pada perlumbaan penutup di Brazil.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN