LAHAD DATU: Tiga warga asing maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Batu 18, Jalan Sandau Lahad Datu-Sandakan di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 3.05 petang.
Katanya, tiga mangsa iaitu dua wanita berumur 36 dan 38 tahun serta seorang lelaki berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Tiga lagi mangsa yang cedera parah terdiri daripada dua wanita berusia 40 dan 46 tahun serta seorang lelaki berusia 43 tahun dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kereta Proton Saga telah terbabas sendiri dan terbalik. Terdapat enam mangsa terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki tersepit dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sumsoa berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.27 petang selepas memastikan keadaan di lokasi terkawal dan selamat. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN