KUALA NERUS: “Tidak kisah berapa jaringan, yang penting menang.”
Itu misi Terengganu FC (TFC) yang mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri menentang Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.
Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, anak buahnya hanya turun dengan satu misi iaitu meraih kemenangan bagi membuka langkah selesa ke separuh akhir.
“Kita perlukan kemenangan ini untuk menaikkan keyakinan pemain dan dapatkan momentum sebelum perlawanan timbal balik di gelanggang lawan minggu depan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan di Gong Badak, semalam.
Menurutnya, walaupun pemain utama, Akhyar Rashid belum dapat diturunkan akibat kecederaan, beliau tetap yakin dengan kemampuan barisan sedia ada untuk menampilkan aksi terbaik.
Badrul Afzan berkata, skuad The Cats memiliki kelebihan barisan pemain import berpengalaman, justeru itu anak buahnya diingatkan supaya kekal fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah di depan penyokong sendiri.
“Kita tahu Kuching City bukan lawan mudah. Jadi pemain perlu fokus dan manfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri. Sokongan padu dari penyokong juga jadi pembakar semangat untuk kita raih kemenangan,” ujarnya. – utusan
PEMAIN Terengganu FC (TFC) menjalani sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY