KLUANG: Usianya sudah menjangkau lapan tahun, namun belum bersekolah kerana tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan (MyKad).
Itu yang perlu dihadapi seorang kanak-kanak lelaki apabila ditinggalkan ibu kandungnya selepas dilahirkan di sebuah hospital swasta di sini.
Penjaga kanak-kanak itu, Siti Norhidayu Hamim, 29, berkata, Muhammad Noor Hanif diserahkan kepadanya tiga hari selepas dilahirkan pada 4 April 2017 oleh seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Jaryatun, berusia sekitar 30-an ketika itu.
Katanya, hanya surat pengesahan kelahiran serta buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak diberikan kepadanya kerana wanita itu berjanji untuk datang semula menemuinya.
“Atas dasar simpati, saya menerima bayi itu dan menjaga dengan sebaiknya. Namun, selepas lebih sebulan wanita berkenaan tidak menghubungi semula, malah gagal untuk dihubungi dipercayai sudah menukar nombor telefonnya.
“Kini Muhammad Noor Hanif sudah berusia lapan tahun dan perlu bersekolah untuk masa depannya. Gagal bersekolah kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri sama ada sijil kelahiran atau kad pengenalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Norhidayu berkata, adalah penting untuk menghantar Muhammad Noor Hanif ke sekolah bagi membolehkannya mendapat pendidikan sempurna dan seterusnya berada di bawah jagaannya secara sah.
Katanya, buat masa ini Muhammad Noor Hanif hanya diberikan pembelajaran sendiri di rumah, namun ia tidak mencukupi.
“Untuk itu, saya mengharapkan dapat bertemu ibu kandungnya untuk menyelesaikan urusan anak angkat secara sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mereka yang mengenali Jaryatun atau dirinya sendiri diharap dapat menghubungi saya di talian 014‑3872426 untuk urusan selanjutnya dengan JKM,” katanya. – UTUSAN