Tiada keistimewaan baharu untuk nelayan dalam Belanjawan 2026

Tiada keistimewaan baharu untuk nelayan dalam Belanjawan 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan nelayan tidak melihat sebarang keistimewaan baharu dalam Belanjawan 2026 apabila kerajaan masih mengekalkan kadar elaun sara hidup RM300 sebulan seperti sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Faizal Zabri berkata, kadar itu tidak lagi relevan dengan peningkatan kos semasa, terutama bagi nelayan kecil yang kebanyakannya warga emas.

“Elaun tersebut tidak naik langsung sejak zaman kerajaan terdahulu. Dengan kos sekarang, memang tidak mencukupi.

“Kebanyakan nelayan pantai berusia lebih 60 tahun, tidak memiliki lesen memandu dan hanya menggunakan basikal untuk bergerak. Subsidi minyak pula hanya diberi kepada nelayan berlesen, menyebabkan ramai yang terpinggir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 berkata, elaun sara hidup nelayan diberikan sehingga RM300 ringgit sebulan dan insentif hasil tangkapan diberikan dengan peruntukan 160 juta ringgit. 

Beliau turut mengumumkan kerajaan tetap mengekalkan diesel bersubsidi RM1.65 seliter khusus untuk nelayan.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, nelayan pantai menggunakan purata 50 liter petrol sehari untuk menangkap ikan dan kuota subsidi sedia ada sebanyak 300 liter sebulan hanya bertahan sekitar enam hari.

“Kalau boleh kerajaan pertimbangkan untuk menaikkan kuota kepada 1,000 atau 1,500 liter sebulan dan pertimbangkan ia kerana nelayan membekalkan sumber protein kepada negara. Beban kos operasi ini amat menekan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faizal turut mengulas mengenai subsidi diesel berjumlah RM1.65 seliter yang diumumkan menurutnya lebih memanfaatkan bot laut dalam berbanding nelayan pantai.

“Masalahnya, nelayan pantai menggunakan petrol, bukannya diesel. Subsidi diesel ini lebih banyak kepada bot laut dalam yang menerima kuota sehingga 17,000 liter sebulan.

“Kalau boleh Perdana Menteri seragamkan subsidi kepada RM1.65 seliter untuk semua zon dan pada masa sama, tambahkan kuota bagi nelayan pantai Zon A kerana penggunaan petrol lebih sesuai di kawasan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN