Terbuka Perancis: Pearly-Thinaah jumpa juara Olimpik

Terbuka Perancis: Pearly-Thinaah jumpa juara Olimpik

Gandingan No. 2 dunia itu mara bergaya selepas menewaskan pasangan baharu China, Bao Li Jing-Zhang Shu Xian 22-20, 21-15 dalam pertarungan dua set awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah bakal berdepan ujian terbesar di Terbuka Perancis apabila dijadual menentang juara Olimpik dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada aksi suku akhir malam ini.

Gandingan No. 2 dunia itu mara bergaya selepas menewaskan pasangan baharu China, Bao Li Jing-Zhang Shu Xian 22-20, 21-15, awal pagi tadi dalam pertarungan dua set yang mempamerkan ketenangan dan disiplin tinggi.

Kemenangan tersebut memastikan Pearly-Thinaah mengekalkan konsistensi menakjubkan apabila mara ke sekurang-kurangnya peringkat suku akhir dalam 15 daripada 18 kejohanan musim ini.

Namun cabaran kali ini bakal menjadi penentu sebenar ketahanan mental mereka apabila menentang pasangan yang pernah menewaskan mereka lapan kali dalam sembilan pertemuan.

Qing Chen-Yi Fan, yang juga pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024 dan juara dunia empat kali, kekal sebagai kuasa dominan dalam beregu wanita dunia.

Satu-satunya kemenangan Pearly-Thinaah ke atas pasangan China itu hadir di All England tahun lalu, pencapaian yang masih segar dalam ingatan untuk dijadikan pembakar semangat.

Beregu negara yang pernah menjulang kejuaraan Terbuka Perancis 2022 itu kini memburu penampilan separuh akhir ke-11 musim ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN