Pei Kee cedera, langkah tersekat di tangan beregu Turkiye

Terbuka Hylo: Pei Kee cedera, langkah tersekat di tangan beregu Turkiye

Go Pei Kee (kanan) mengalami kecederaan pada set kedua yang memaksa beliau bersama Mei Xing menarik diri aksi suku akhir Terbuka Hylo, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci, hari ini.

Dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Saarlandhalle, gandingan pilihan keempat kejohanan itu terpaksa akur apabila menarik diri pada kedudukan 13-14 di set kedua selepas Pei Kee mengalami kecederaan.

Beregu negara sebelum itu bermula perlahan apabila tewas 13-21 pada set pembukaan selepas gagal mengekang permainan pantas ditampilkan Ercetin dan Inci.

Namun pada set kedua, mereka bangkit dengan semangat baharu apabila mendahului 10-3 hasil serangan bertubi-tubi ke arah pasangan lawan.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila beregu Turkiye menunjukkan kebangkitan luar biasa untuk mengejar mata dan memintas kedudukan pada 14-13.

Insiden malang menimpa Pei Kee yang mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan pukulan lawan, sekali gus memaksa pasangan negara itu menarik diri daripada meneruskan perlawanan.

Kekalahan tersebut menyaksikan peluang Malaysia dalam acara beregu wanita berakhir di peringkat suku akhir selepas beregu muda, Carmen Ting-Ong Xin Yee turut tersingkir lebih awal.

Pasangan muda negara itu tewas 17-21, 16-21 kepada pilihan kedua dari Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun dalam pertarungan yang berlanjutan selama 37 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN