Terbuka Denmark: Beregu No.1 Dunia sekat hajat Tang Jie-Ee Wei

Terbuka Denmark: Beregu No.1 Dunia sekat hajat Tang Jie-Ee Wei

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 17-21, 21-18, 18-21 pada aksi separuh akhir Terbuka Denmark 2025 di Jyske Bank Arena, Odense hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal mengulangi skrip gemilang bergelar juara dunia apabila tunduk kepada gandingan No.1 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi separuh akhir Terbuka Denmark 2025 di Jyske Bank Arena, sebentar tadi.

Pasangan negara itu berhempas pulas selama 65 minit sebelum akur tewas dalam pertarungan sengit tiga set 17-21, 21-18, 18-21 di tangan juara Terbuka Arctic 2025 minggu lalu dari China itu.

Perlawanan yang penuh dramatik menyaksikan Tang Jie-Ee Wei beberapa kali bangkit mengejar mata namun ketenangan dan ketepatan serangan Zhen Bang-Ya Xin menjadi pemisah antara kemenangan dan kekalahan.

Kekalahan itu sekali gus menutup peluang beregu campuran negara untuk mengulangi kejayaan bersejarah menewaskan pasangan sama pada Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.

Pertemuan separuh akhir itu merupakan kali keenam mereka berentap dengan rekod kini memihak kepada pasangan China yang mendahului 4-2 dalam siri persaingan kedua-dua beregu.

Walaupun tersingkir, pencapaian mara ke separuh akhir kali ini tetap menjadi yang terbaik buat Tang Jie-Ee Wei di kejohanan bertaraf Super 750 itu selepas sekadar tewas di pusingan kedua pada 2023.

Beregu pilihan keempat dunia itu selepas ini akan menumpukan perhatian kepada Terbuka Perancis minggu depan di Cesson Sevigne bagi menentang pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang pada pusingan pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN