PETALING JAYA: Aksi beregu lelaki negara kekal menyengat di Terbuka Arctic apabila dua wakil Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri mara ke suku akhir di Vantaa, Finland lewat malam tadi.
Pilihan utama kejohanan, Aaron-Wooi Yik bagaimanapun berdepan ujian getir sebelum menewaskan rakan senegara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 15-21, 21-14, 21-14 dalam pertarungan yang memakan masa 53 minit di Energia Areena.
Kemenangan itu juga menandakan pertemuan pertama antara dua pasangan bekas rakan sepelatih negara dalam saingan Jelajah Dunia BWF.
Aaron-Wooi Yik kini mengintai gelaran keempat musim ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Beregu No. 5 dunia itu bakal berdepan cabaran beregu Taiwan, Liu Kuan Heng-Yang Po Han yang menghuni ranking ke-22 dunia pada aksi suku akhir malam ini.
Meskipun memiliki rekod kemenangan 2-0, Aaron-Wooi Yik tetap berhati-hati selepas hampir tersingkir kepada pasangan sama pada China Masters bulan lalu sebelum menang 23-21, 19-21, 21-19.
Sementara itu, pasangan muda negara, Hon Jian-Haikal meneruskan rentak cemerlang dengan kebangkitan dramatik menewaskan gandingan Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi 12-21, 21-10, 21-16.
Pasangan ranking ke-47 dunia itu sebelum ini mengejutkan beregu pilihan keempat dari China, Huang Di-Liu Yang dalam pusingan pertama dan sekali lagi tampil tenang ketika ketinggalan.
Hon Jian-Haikal kini berpeluang melakar sejarah mara ke separuh akhir Siri Super 500 pertama mereka sejak Terbuka Australia tahun lalu apabila berdepan beregu No. 3 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Namun rakan senegara mereka, Arif Junaidi-Yap Roy King gagal mengulangi kejutan di Terbuka Hong Kong apabila tunduk kepada pasangan sama 13-21, 21-12, 13-21 yang kini mendahului rekod pertemuan 3-1. – UTUSAN