PETALING JAYA: Tragedi menimpa pelajar perempuan 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama membuka perbincangan tentang tekanan jiwa dan pengaruh teknologi dalam kalangan remaja.
Guru sekolah tersebut, R. Sivakumar berkata, teknologi semakin canggih yang sepatutnya membawa manfaat sebaliknya menjadi senjata yang yang perlahan-lahan menghancurkan nilai kemanusiaan.
Katanya, perkembangan dunia digital yang terlalu pantas menyebabkan ramai remaja tenggelam dalam dunia maya tanpa sempadan hingga sukar membezakan antara realiti dan emosi sendiri.
“Kita hidup dalam dunia yang semakin canggih, tetapi ironinya, teknologi yang sepatutnya menghubungkan manusia kini menjadi pisau bermata dua.
“Murid hari ini dibesarkan dalam dunia maya yang luas tanpa sempadan, di mana emosi mudah terbakar dan hati mudah goyah.
“Pepatah ada menyebut ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’, begitulah teknologi, nampak mendidik, tetapi mampu menelan nilai jika tidak dikawal dengan bijak,” katanya berkongsi menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pelajar berusia 16 tahun ke bawah dilarang menggunakan telefon pintar sementara penggunaan media sosial pula perlu sentiasa dipantau.
Larangan tersebut adalah antara tiga cadangan bagi menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah yang semakin membimbangkan akibat pengaruh media sosial.
Sivakumar berkata, kesedihan juga masih menyelubungi warga sekolah apabila insiden tragis itu disifatkan sebagai ujian paling berat bagi kerjaya sebagai seorang guru.
Katanya, bagaimanapun peristiwa hitam itu bukanlah tempat untuk menuding jari kepada sesiapa, namun ia mencerminkan sistem nilai kemanusiaan yang semakin pudar.
“Tidak ada guru yang ingin muridnya terkorban dan tidak ada sekolah yang bersedia menghadapi tragedi sebegini.
“Sebagai warga pendidik, saya faham. Tiada siapa patut dipersalahkan kerana ini bukanlah kegagalan seorang guru, tetapi satu tamparan kepada sistem nilai kemanusiaan yang semakin terhakis,” katanya. – UTUSAN







