KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menerima durian runtuh apabila membawa pulang insentif keseluruhan berjumlah RM460,000 hasil kejayaan muncul juara dunia di Paris Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyalurkan RM300,000 manakala dua penaja utama, Yonex dan Affin Bank masing-masing menambah RM100,000 dan RM60,000 sebagai penghargaan terhadap pencapaian bersejarah tersebut.
Majlis pemberian insentif di Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu turut menyaksikan BAM menzahirkan penghargaan kepada ketua jurulatih Nova Widianto (RM15,000) serta enam anggota pasukan sokongan beregu campuran yang menerima keseluruhan RM18,000.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, majlis itu bukan sekadar penyampaian ganjaran, sebaliknya lambang pengiktirafan dan penghargaan atas pengorbanan para pemain serta barisan kejurulatihan.
“Majlis hari ini bukan hanya tentang imbuhan, tetapi simbol penghargaan dan dorongan kepada semua yang berjuang di sebalik kejayaan ini.
“BAM komited memastikan sokongan terhadap atlet dan jurulatih terus utuh, kerana pengorbanan mereka menjadi bahan bakar kepada impian seluruh rakyat Malaysia untuk melihat Jalur Gemilang berkibar di pentas dunia,” kata Zafrul ketika berucap pada Majlis Pemberian Insentif kepada pemenang pingat Kejohanan Dunia di ABM, Bukit Kiara hari ini.
Dalam pada itu, Ee Wei menyifatkan kejayaan di Kejohanan Dunia bukan milik mereka berdua semata-mata, sebaliknya hasil kerja keras dan keyakinan seluruh pasukan kebangsaan.
“Kejayaan ini untuk semua, bukan hanya kami berdua, ianya untuk Tengku (Zafrul), BAM, jurulatih dan staf sokongan yang bekerja keras setiap hari,” kata Ee Wei.
Pasangannya, Tang Jie pula menegaskan tiada perubahan dalam pendekatan mereka selepas bergelar juara dunia, sebaliknya mahu kekal lapar untuk terus mencipta sejarah baharu.
“Tekanan itu biasa, semua atlet mengalaminya dan kami hanya mahu terus menikmati setiap perlawanan dan kekal konsisten,” kata Tang Jie
Sementara itu, Pearly Tan-M. Thinaah selaku naib juara dunia turut menerima ganjaran RM192,500 termasuk sumbangan RM112,500 daripada BAM, RM50,000 (Yonex) dan RM30,000 (Affin Bank) menjadi jumlah keseluruhan RM192,500. – UTUSAN