KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul disaran memanggil Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menarik balik kenyataan menuduh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan serangan di Masjid Kampung Rusila, Terengganu sebagai ingin mengulangi Peristiwa Memali 1985.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, Takiyuddin juga perlu memohon maaf kepada Dewan Rakyat susulan kenyataan tersebut.
“Sekiranya perkara ini tidak ditangani sewajarnya, saya mencadangkan agar perkara ini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk siasatan lanjut selaras dengan Peraturan 36 (12), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Pada 22 Oktober lalu, ketika perbahasan di peringkat dasar Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026, Takiyuddin membangkitkan isu berkenaan di Masjid Kampung Rusila yang bersebelahan dengan rumah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Memetik kenyataan Takiyuddin iaitu ‘…apakah tindakan ini ingin mengulangi Peristiwa Memali yang berlaku iaitu suatu serangan kepada masjid dan rumah ibadat’.
Suhaizan berkata, kenyataan Setiausaha Agung Pas itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak, selain tidak wajar dan boleh menjejaskan integriti Dewan Rakyat.
“Kenyataan itu dibuat berasaskan maklumat yang tidak dapat disahkan dan tidak tepat. Ia bercanggah dengan kenyataan rasmi Maritim Malaysia yang menyebut mereka hanya berhenti untuk menunaikan solat Asar, beriktikaf dan berehat sebentar.
“Malah, jawatankuasa masjid juga telah dimaklumkan lebih awal dan tiada gangguan dilakukan kepada jemaah,” katanya.
Suhaizan berkata, kenyataan itu mengandungi implikasi sangat serius seolah-olah mengaitkan Maritim Malaysia melakukan serangan kepada masjid, mengakibatkan kecelakaan dan bertindak melampau tanpa sebarang asas atau bukti kukuh.
“Ini juga akan mengganggu-gugat keharmonian dan kesejahteraan negara. Pendekatan ini diambil dengan mengambil kira keperluan menegakkan prinsip kebertanggungjawaban dalam Parlimen,” katanya. – UTUSAN










