Sultan Pahang cemar duli rasmi Wasco Forest Fasa 2, sejuta pokok 'bakal' ditanam

Sultan Pahang cemar duli rasmi Wasco Forest Fasa 2, sejuta pokok bakal ditanam

SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Wasco Forest Fasa Kedua di Mangala Estate Boutique Resort, Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Wasco Forest Fasa Kedua di Mangala Estate Boutique Resort, Kuantan.

Ketibaan Baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar serta Pengerusi Yayasan Wasco, Datuk Mohamed Nizam Abdul Razak.

Majlis perasmian ini merupakan inisiatif hijau Wasco Forest yang kini diperluas ke fasa kedua dengan melibatkan keluasan 670 hektar menerusi penanaman sejuta pokok bagi memastikan kualiti alam sekitar di negara ini kekal terpelihara.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasco Berhad, Gian Carlo Maccagno menerusi satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan perunding ESG Eco-Ideal Consulting Sdn. Bhd. untuk memastikan kualiti keadaan hutan jangka panjang, pemulihan biodiversiti dan penyerapan karbon yang boleh diukur.

“Inisiatif fasa kedua ini dibangunkan dengan berasaskan kejayaan Wasco Forest fasa satu yang dilancarkan pada tahun 2021, melibatkan penanaman 160,000 pokok di kawasan 100 hektar dengan kadar kelangsungan hidup 87 peratus.

“Tidak seperti kempen penanaman pokok biasa, fasa dua memberi tumpuan kepada pemulihan hutan sekunder dengan menggabungkan spesies pantas tumbuh seperti Kelampayan bersama spesies kayu keras termasuk Merawan dan Meranti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Maccagno berkata, inisiatif ini disokong Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, yang memastikan kombinasi spesies dan amalan silvikultur tepat dilaksanakan bagi memulihkan biodiversiti serta memperkukuh ekosistem.

“Ini adalah komitmen selama 30 tahun terhadap biodiversiti, komuniti dan sains. Daripada 160,000 pokok kepada visi sejuta pokok, Wasco Forest adalah legasi yang kami bina untuk generasi akan datang,” jelasnya.

Menurut Macagno lagi, inisiatif ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Pahang Sifar Bersih 2030 dan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris.

“Mengiktiraf dalam aspek penghijauan mengambil masa puluhan tahun untuk memberikan manfaat terhadap iklim. Justeru, Wasco memulakan program ini sejak 2021 bagi memastikan hasil yang boleh diukur untuk jangka panjang,” jelasnya.

Macagno turut mengalu-alukan rakan industri bagi menyokong usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hijau dan pengukuhan kelestarian dalam rantaian nilai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN