JOHOR BAHRU: Skuad Hoki remaja mengorak langkah kiri apabila dibelasah Pakistan 7-2 dalam aksi pembukaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Johor di Taman Daya, di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu, pasukan Pakistan terlebih dahulu di hadapan setelah pukulan sudut penalti yang diambil Basharat Ali disempurnakan oleh Sufyan Khan.
Jaringan tersebut memberi tonik buat pasukan Kamran Ashraf yang terus garang melancarkan serangan dan berjaya memperoleh tiga pukulan sudut penalti, namun gagal disudahkan.
Memasuki suku kedua, Young Tigers tampil dengan corak permainan yang lebih agresif dan hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan Shafiq Adam Hariss Suzaini dan Rahul Fazrien Muhammad namun tidak berjaya menewaskan penjaga gol, Muhammad Janjua.
Gol yang diburu pasukan kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin hadir pada minit ke-20 menerusi gol padang Ammar Qusyairi yang membuatkan penjaga gawang lawan sekadar tergamam tidak bergerak.
Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Pakistan kembali di hadapan seminit kemudian setelah Sufyan Khan menambah jaringan peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-21.
Ketika pasukan tuan rumah rancak mengasak kubu lawan, benteng pertahanan skuad remaja negara tampak terleka apabila Pakistan membuat serangan balas pantas menerusi larian solo kapten, Hannan Shahid sebelum menjaringkan gol pada minit ke-30.
Pakistan terus garang menambah jaringan pada suku ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Khan Nadeem pada minit ke-32 sebelum Sufyan menambah derita buat Malaysia apabila melengkapkan jaringan hatriknya dua minit kemudian, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Young Tigers berpeluang untuk merapatkan jurang gol apabila mendapat tiga pukulan sudut penalti namun hanya satu berjaya disudahkan oleh Azimuddin Shakir Kamaruddin pada minit ke-35.
Sebelum tamat suku ketiga, Pakistan sekali lagi menambah jaringan apabila Khan Nadeem menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 6-2.
Pada suku keempat, Pakistan menambah derita buat Malaysia apabila meledak gol ketujuh perlawanan menerusi gol padang yang dihasilkan Fayyaz Hamza pada minit ke-52.
Terdahulu, juara bertahan, Great Britain tewas tipis 2-3 kepada India pada aksi pembukaan.
India terlebih dahulu di hadapan menerusi gol padang Ravneet Singh pada minit ke-23 sebelum Great Britain menyamakan kedudukan menerusi gol padang Michael Royden, tiga minit kemudian.
Kapten India, Rohit meletakkan pasukan kembali di hadapan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45 namun pada minit ke-46, Kaden Draysey menyamakan jaringan.
India memastikan kemenangan memihak kepada mereka selepas Rohit menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-52. – UTUSAN