PETALING JAYA: Skuad muda negara menutup aksi di tangga kelima selepas mengetepikan Taiwan 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/6 pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia Berpasukan Campuran 2025 di Guwahati Assam, India, malam tadi.
Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila melakar kemenangan dalam set pertama selepas perseorangan lelaki, Lim Boon Le menewaskan Huang Jyun Kai 9-3.
Rentak kemenangan itu diteruskan oleh beregu perempuan yang digalas Noraqilah Maisarah Ramdan-Low Zi Yu yang tidak berdepan masalah menundukkan Yun An Chou-Hui Hsin Huang 18-16.
Bagaimanapun, Lim Zi Shin yang diberi tanggungjawab mengisi posisi perseorangan perempuan gagal meraih kemenangan apabila tumpas kepada Liao Yuan Chi 22-27.
Mujur beregu lelaki, Loh Zi Heng-Tan Zhi Yang menebus kembali kekalahan itu apabila membenam gandingan Taiwan, Yi Hsuan Chen-Chun Yen Chu 36-34.
Zi Heng yang kali ini digandingkan pula bersama Noraqilah untuk beregu campuran memastikan mata pertama diraih skuad negara apabila mengalahkan Bing Fu Hung-Yun An Chou 45-39.
Dalam set kedua, langkah serba tidak menjadi daripada barisan pemain remaja Malaysia apabila mereka mempersiakan peluang dengan membiarkan Taiwan menyamakan kedudukan 1-1.
Kecanggungan itu bermula dengan perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang yang tewas di tangan Chieh Dan Yang 6-9 dan Noraqilah-Zi Yu pula tumpas kepada An Chou-Hsin Huang 11-18.
Oo Shan Zi yang diturunkan untuk perseorangan perempuan turut kecundang kepada Liao Jui Chi 15-27 dan mengharapkan Damien Ling-Shazmir Shahrul dapat melakukan kebangkitan turut gagal apabila kalah di tangan Hsuan Chen-Bing Fu Hung 18-36.
Jurang mata yang cukup jauh menyaksikan Zhi Yang yang dipasangkan dengan Nicole untuk beregu campuran terpaksa akur kepada Fu Hung-An Chou 28-45.
Malaysia kembali bangkit dalam set ketiga apabila Boon Le yang kembali menggalas tugas selaku perseorangan lelaki tidak menghadapi masalah mengalahkan Chen Yu Cheng 9-5.
Kejayaan itu diteruskan oleh beregu perempuan, Noraqilah-Zi Yu yang mudah membenam An Chou-Hsin Huang 18-8, manakala, Zhi Shin menebus kekalahannya dalam set pertama setelah menundukkan Shu Yu Wen 27-23.
Beregu lelaki, Zi Heng-Zhi Yang pula menyingkirkan Hsuan Chen-Fu Hung 36-31 dan gandingan campuran, Zi Heng-Noraqilah memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Malaysia selepas menewaskan Bing Fu-Yun An 45-39.
Minggu depan, perjuangan pemain muda negara untuk acara individu akan bermula dan Malaysia merupakan juara bertahan dalam saingan beregu lelaki pada kejohanan yang turut dikenali sebagai Piala Suhandinata itu. – UTUSAN