PETALING JAYA: Ketua jurulatih badminton pekak negara, Sabrina Chong mengingatkan skuad negara supaya berwaspada dengan ancaman utama daripada India dan Korea Selatan menjelang temasya Deaflympics 2025 di Tokyo, Jepun bulan depan.
Beliau berkata dua kuasa besar itu muncul antara pasukan paling konsisten selepas mendominasi pingat emas dalam beberapa edisi serta Deaflympics edisi sebelum ini di Brazil pada 2022.
“India pernah sapu tiga emas pada Deaflympics lepas, manakala Korea juga menang tiga emas di Kejohanan Dunia.
“Jadi kami tahu mereka bukan calang-calang lawan dan pemain perlu bersedia dari segi mental serta taktikal,” kata Sabrina ketika lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Deaflympics 2025, Mohd Yusri Abd Ghani, kelmarin.
Namun Sabrina tetap optimis peluang Malaysia masih cerah sekiranya pemain mengekalkan prestasi latihan dan tidak terbeban dengan tekanan sasaran dua emas.
“Kalau mereka boleh keluarkan permainan sebenar seperti dalam latihan, peluang tetap ada.
“Saya tidak mahu mereka terlalu fikir tentang emas, sebaliknya nikmati permainan dan berikan yang terbaik kerana itu yang akan hasilkan keputusan,” katanya.
Antara sandaran utama negara ialah Boon Wei Ying-Foo Zu Tung (beregu wanita) dan Edmund Teo-Wei Ying (beregu campuran) yang masing-masing meraih emas dan perak di Brazil 2022.
Sabrina menegaskan tumpuan kini lebih kepada memperkukuh gandingan dan kematangan taktikal, terutama bagi Edmund yang masih muda dan perlu menyesuaikan diri dengan rentak rakan pasukannya.
Beliau percaya pengalaman bermain dalam cuaca panas Malaysia memberi kelebihan untuk menyesuaikan diri dengan suhu sejuk Tokyo sekali gus menampilkan aksi bertenaga di pentas tertinggi dunia itu. – UTUSAN










