PETALING JAYA: Hajat pemain skuasy wanita No. 1 Malaysia, S. Sivasangari untuk merangkul gelaran kedua, tahun ini, tidak kesampaian selepas tunduk kepada wakil tuan rumah, Olivia Weaver pada perlawanan akhir Terbuka Silicon Valley 2025 di Redwood City, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Sivasangari yang menghuni ranking No. 8 dunia itu tewas menerusi permainan empat set kepada jaguh No. 5 dunia, Weaver 10-12, 11-4, 4-11, 4-11 dalam masa 47 minit.
Kekalahan kepada juara bertahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menentang Weaver semakin jauh tercicir kepada 1-8.
Sebagai naib juara, Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$11,700 (RM49,461) beserta pingat perak pada kejohanan berstatus Gold itu.
Satu-satunya kemenangan yang pernah dilakar Sivasangari ke atas Weaver ialah pada separuh akhir Piala Cincinnati Gaynor, Februari lalu.
Piala Cincinnati Gaynor juga merupakan gelaran sulung diraih pemain berusia 26 tahun itu, tahun ini, selepas mengetepikan Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat.
Namun begitu, bagi kalendar pertandingan untuk musim 2025/26 yang bermula Ogos, ini bermakna Sivasangari masih belum merangkul sebarang gelaran dengan pencapaian terbaik melangkah ke perlawanan akhir pada Terbuka Silicon Valley.
Sebelum kejohanan di Silicon Valley, langkah Sivasangari yang berada di dalam program Road To Gold (RTG) sering kali tersekat sama ada di suku akhir atau separuh akhir.
Untuk kejohanan akan datang, Sivasangari mungkin perlu duduk kembali berbincang dengan jurulatihnya, Gregory Gaultier bagi mencari jalan untuk mengekalkan rentak yang lebih konsisten. – UTUSAN