Siri Kedua Asia jadi medan persiapan Bunga Raya 7s

Siri Kedua Asia jadi medan persiapan Bunga Raya 7s

Nik Safuan Ismade Nik Man
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyertaan dalam Siri kedua Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Asia Emirates di Colombo, Sri Lanka pada 18 hingga 19 Oktober ini menjadi serampang dua mata skuad skuad Bunga Raya 7s.

Ketua jurulatih skuad ragbi 7s kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, selain mengintai kedudukan terbaik, kejohanan itu juga menjadi medan persiapan skuad negara ke Sukan SEA 2025.

Kata Nik Safuan, kejohanan berkenaan juga menjadi penanda aras utama bagi mengenal pasti kelemahan dan memperkukuh strategi bagi memenuhi sasaran ke final pada temasya dwitahunan tersebut.

“Tujuan utama saya bukan untuk kejar keputusan besar di Sri Lanka, tetapi nak jaga pergerakan pemain dan jadikan kejohanan ini sebagai ukuran sebenar tahap pasukan.

“Dari situ kita boleh bentuk skuad terbaik ke Sukan SEA nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Nik Safuan, objektif utama tahun ini adalah memastikan Malaysia mara ke pentas final Sukan SEA, dan siri kedua di Sri Lanka bakal menjadi platform untuk memperhalusi taktikal serta keserasian pemain.

Dalam masa sama, beliau melakukan rombakan kecil apabila memanggil tiga pemain baharu, termasuk pemain bawah 18 tahun, Amar Syamim Nor Herman bagi memberi pendedahan di peringkat senior.

“Dua lagi pemain yang dipanggil ialah Ahmad Zulhilmi Azizad dan Muhammad Harith iqbal Muhamad Anhar yang boleh beri impak dalam pasukan Lawan seperti China dan Sri Lanka hampir setara kekuatannya, jadi kehadiran mereka penting untuk beri keseimbangan,” katanya.

Mengulas persiapan pasukan, Nik Safuan menegaskan aspek kecergasan dan ‘match fitness’ menjadi keutamaan utama kali ini, memandangkan skuad negara sering berdepan kekangan masa dalam tempoh latihan.

“Kalau kecergasan dan ‘match fitness’ cukup, saya yakin kita boleh bersaing dengan kuasa besar Asia. Filipina dan Thailand antara pasukan yang kita beri tumpuan sebab mereka dah mula persiapan lebih awal, malah ada pemain naturalisasi,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN