VIENNA: Pemain No.2 dunia, Jannik Sinner terus membuktikan ketenangan dan kehebatannya apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Alexander Zverev pada final Terbuka Vienna, semalam.
Bintang Itali berusia 24 tahun itu menundukkan lawan dari Jerman 3-6, 6-3, 7-5 untuk meraih gelaran keempat musim ini serta ke-22 sepanjang kariernya.
Kejayaan itu juga menandakan gelaran keduanya di Vienna selepas menjuarai kejohanan sama pada 2023, selain melanjutkan rentetan 21 kemenangan berturut-turut di gelanggang keras tertutup menjelang Paris Masters minggu depan.
“Ia permulaan yang sangat sukar bagi saya dalam final ini. Saya ketinggalan awal dan gagal gunakan peluang di set pertama.
Zverev beraksi cemerlang dengan servisnya, tapi saya cuba kekal kuat secara mental dan bermain tenis terbaik bila masa sesuai,” kata Sinner.
Sinner mula menemui rentak pada set kedua apabila mendahului 3-0 sebelum memaksa set penentuan menentang juara 2021 itu.
Walaupun bergelut dengan masalah paha dan Zverev menyelamatkan dua mata break di set terakhir, Sinner kekal agresif sebelum meraih break penting pada kedudukan 5-5 dengan pukulan kilas kencang di garisan.
Sinner kemudian menamatkan aksi dengan servis kemas untuk menutup kemenangan yang disifatkannya amat istimewa, menambah koleksi selepas menjulang kejuaraan Terbuka Australia, Wimbledon dan Terbuka Beijing musim ini. – AGENSI










