PETALING JAYA: Selangor membuktikan status mereka sebagai kuasa besar boling tanah air apabila berjaya mempertahankan gelaran keseluruhan pada Kejohanan Tenpin Boling Kebangsaan di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya, hari ini.
Tumpuan terarah kepada bintang remaja berusia 19 tahun, Muhammad Aiman Syahin Sulaiman yang muncul wira pasukan dengan meraih tiga pingat emas, termasuk menjuarai acara All-Events serta membantu kemenangan berganda dalam beregu bersama Ridhar Rahman Riza Abdullah.
Aiman turut menjadi sandaran utama skuad lelaki Selangor untuk memastikan kemenangan berpasukan, manakala kejayaan turut disumbang pasangan Qurratu’ain Izdihar Pozi–Intan Edryana Azliman dalam beregu wanita serta kelincahan pemain senior, Romahanum Othman yang unggul dalam acara perseorangan senior wanita.
Kejayaan itu memastikan Selangor mengungguli kiraan pingat 5 emas, 4 perak dan 2 gangsa (5-4-2) untuk menewaskan cabaran sengit Sabah yang turut mengutip 5 emas tetapi hanya satu perak dan empat gangsa (5-1-4). Selangor muncul juara menerusi kelebihan pungutan perak.
Lebih manis, kemenangan tersebut menjadikan Selangor selaku penerima sulung Piala P.S. Nathan, trofi yang diperkenalkan tahun ini sebagai penghormatan kepada mendiang Datuk Dr. P.S. Nathan, bekas Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).
Walaupun tewas tipis, Sabah jelas membuktikan mereka kini kuasa baharu yang mampu mencabar dominasi tradisi Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Pasukan Borneo itu digerakkan oleh Nur Jeehan Iezzaty Suffianyang meraih emas perseorangan wanita serta gelaran berprestij All-Events, selain kejayaan veteran Jamlidin Manap dalam perseorangan senior lelaki.
Dua beradik, Nurul Ayunni dan Nurul Alyssa Junaidi pula menghadiahkan Sabah emas beregu wanita sebelum menamatkan kempen dengan penuh bergaya menerusi kejayaan acara berpasukan wanita.
Kuala Lumpur menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dengan kutipan 2 emas, 5 perak dan 4 gangsa, manakala Pahang (2-4-1) serta Sarawak (2-3-3) menghuni tangga keempat dan kelima.
Perebutan pingat kali ini turut menyaksikan pencapaian seimbang apabila 10 negeri berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas, termasuk Terengganu dan Pulau Pinang yang meraih dua emas masing-masing, serta Johor, Melaka dan Kelantan yang masing-masing mencatat satu emas. – UTUSAN