PETALING JAYA: Selangor FC terpaksa berpuas hati sekadar mengutip satu mata selepas diikat tanpa jaringan oleh Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) sebentar tadi.
Kegagalan skuad kendalian Christophe Gamel itu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri sekali gus menangguhkan penentuan gelaran ‘Raja Lembah Klang’ yang bakal bersambung dalam pertemuan timbal balik di Cheras pada 15 Mac tahun depan.
Biarpun dikuasai Selangor pada babak pertama, KL City tampil lebih tersusun dengan corak bertahan kemas dan serangan balas pantas yang beberapa kali menguji benteng Merah Kuning.
Peluang terbaik pelawat hadir seawal minit ke-22 apabila percubaan Victor Ruiz Abril hampir membuka tirai jaringan, namun bola sekadar melewati palang gol tatkala penjaga gawang Selangor, Sikh Izhan Nazrel, sudah pun tertewas.
Selangor cuba bangkit menerusi gerakan Safawi Rasid dan Faisal Halim, namun penyudah tumpul menjadi punca utama kegagalan mereka memecah kebuntuan.
Rembatan lemah Safawi pada minit ke-40 dan percubaan Faisal yang dinafikan Quincy Kammeraad pada minit ke-77 menjadi antara deretan peluang yang dipersiakan.
Memasuki separuh masa kedua, anak buah Risto Vidakovic pula memperkemas tempo permainan dengan Ryan Lambert hampir mencuri kemenangan buat KL City menerusi rembatan deras jarak jauh pada minit ke-76, tetapi tindakan tangkas Sikh Izhan menafikan percubaan itu.
Keputusan seri 0-0 itu bukan sahaja memastikan KL City mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tujuh perlawanan, malah terus mengekori rapat Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga kedua liga.
Selangor pula terpaksa menerima hakikat kehilangan dua mata berharga di laman sendiri sekaligus sesuatu yang pasti meresahkan penyokong Merah Kuning menjelang aksi seterusnya.-UTUSAN










