PETALING JAYA: ‘Tidur malam asyik terjaga dan trauma masih ada’. Itu perkongsian seorang peserta Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFCXTMTG), Syafik Shukri Jalil, 35, selepas hampir seminggu pulang ke tanah air.
Berusaha untuk melupakan segala pengalaman mencemaskan ketika kapal Conscience dinaikinya dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, baru-baru ini, wartawan Astro Awani itu mengakui masih trauma akibat ‘diculik’ oleh rejim Zionis itu.
Kongsinya, dia masih teringat dengan bunyi salakan anjing di dalam penjara sehingga dia membayangkan tentera Israel akan melepaskan anjing tersebut pada bila-bila masa ke dalam selnya.
“Itu paling merisaukan saya. Mungkin mereka mahu menakut-nakutkan kami dan melepaskan anjing di dalam sel ketika sedang tidur. Namun, Alhamdulillah perkara sebegitu tidak berlaku.
“Entah pukul berapa, tiba-tiba warden penjara ketuk pintu dengan kuat dan pasang lampu bagi membuat pengiraan tahanan secara rawak.
“Pengalaman selama tiga hari dua malam di dalam sel penjara benar-benar memberi keinsafan. Namun, apa yang saya lalui ini hanya sekelumit berbanding penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, sembilan kapal membawa aktivis misi kemanusiaan FFC x TMTG dipintas oleh tentera Israel di kawasan 120 batu nautika dari perairan Gaza.
Misi kemanusiaan yang membawa bantuan keperluan asas itu gagal berlabuh di Gaza, selepas misi sama diperjuangkan oleh peserta Global Sumud Flotilla (GSF).
Syafik berkata, sepanjang berada di dalam tahanan itu, dia sangat berharap untuk berjumpa dengan rakyat Palestin lain yang menjadi tahanan rejim Zionis di Penjara Ktzi’ot.
“Sepanjang berada di dalam sel, saya tidak pernah berjumpa atau terserempak dengan mana-mana rakyat Palestin lain. Penjara yang saya duduki pula bukanlah penjara yang paling teruk di negara haram itu.
“Cuma makan memang tdak lalu sebab kita sudah biasa makan nasi. Mereka sediakan makanan seperti kekacang dan sedikit cebisan ikan tuna, saya hanya jamah sedikit sahaja. Air pula adalah air paip dalam sinki bukan air jamban sehingga menimbulkan kekeliruan ramai,” katanya. – UTUSAN










