KUALA LUMPUR: Isu kehadiran anggota komando Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke Masjid Kampung Rusila, Marang, Terengganu, dianggap selesai, selepas ia disahkan hanyalah latihan bukannya serbuan atau serangan seperti didakwa.
Polemik itu akhirnya terungkai selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa kehadiran anggota komando di masjid tersebut hanyalah untuk menunaikan solat Asar.
Beliau berkata, anggota komando Maritim Malaysia sedang melakukan latihan di Terengganu bermula 16 hingga 22 September dan perkara itu sudah pun dimaklumkan kepada Polis Terengganu dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) sehingga ke peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri tersebut.
Katanya lagi, pada hari kejadian, anggota komando Maritim Malaysia itu sedang melakukan latihan dipanggil survival, evasion, resistance and escape yang mempunyai elemen perlu mengelak daripada ditangkap jurulatih dan juga penyamaran.
“Mereka bermula dari Kuala Berang kemudian di terminal bas, pasar, macam-macam tempat termasuk masjid. Jadi apabila ada elemen penyamaran (jadi) tak boleh hebahlah, kalau tidak tak tercapailah tujuan latihan itu.
“Apabila sampai di masjid itu pada 19 September, mereka singgah untuk sembahyang Asar, sebab itu kalau kita tengok CCTV (kamera litar tertutup) mereka seperti berlari-lari ke arah motokar, tujuan dia hendak mengelak daripada dikesan jurulatih.
“Jadi kalau lihat secara sepintas lalu, nampak macam mencurigakanlah, tapi hendak kata serbuan dan serangan itu tidak sama sekali,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Bangkit mencelah, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN – Kota Bharu) berterima kasih kepada Saifuddin kena menjelaskan isu tersebut secara tuntas dan jelas berbanding kekeliruan yang timbul sebelum ini.
Katanya, tindakannya menyuarakan isu itu bukanlah untuk memburukkan mana-mana pihak sebaliknya hanya mahu bertanyakan prosedur operasi standard (SOP) latihan jabatan penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Saya sebagai setiausaha agung parti dan Marang itu adalah tempat Presiden kami, jadi diminta untuk saya kemukakan soalan itu kerana tempat itu sendiri merupakan dalam keadaan tertentu sensitif untuk mengadakan beberapa perkara.
“Kami hanya ingin mengelakkan daripada salah faham dan tidak ada langsung niat menyalahkan pegawai kerajaan lebih-lebih lagi anggota keselamatan cuma saya minta selepas ini perkara begini kita boleh elakkan.
“Pokoknya, latihan itu berlaku di situ tak dapat dinafikan lagi. Saya tidak ada masalah, saya kira (perkara ini) selesai. Done deal (selesai) untuk kita berdua,” katanya kepada Saifuddin. – UTUSAN










