Ronaldo jadi pemain bola sepak pertama bergelar bilionair

Ronaldo jadi pemain bola sepak pertama bergelar bilionair

Menerusi penilaian terbaharu Bloomberg Billionaires Index yang menganggarkan nilai kekayaannya mencecah AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Cristiano Ronaldo mencipta sejarah tersendiri apabila disenaraikan sebagai pemain bola sepak pertama mencapai status bilionair menerusi penilaian terbaharu Bloomberg Billionaires Index yang menganggarkan nilai kekayaannya mencecah AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion).

Laporan itu mendedahkan kekayaan luar biasa bintang berusia 40 tahun itu melonjak selepas menandatangani kontrak baharu bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr pada Jun lalu yang dianggarkan bernilai lebih AS$400 juta (RM1.6 bilion).

Sepanjang karier profesionalnya, Ronaldo meraih lebih AS$550 juta (RM2.3 bilion) daripada gaji sejak 2002 hingga 2023, selain kontrak jangka panjang bersama Nike bernilai hampir AS$18 juta (RM75 juta) setahun serta penajaan mewah dengan jenama seperti Armani dan Castrol.

Perpindahan Ronaldo dari Manchester United ke Al-Nassr pada 2023 menjadikannya pemain dengan pendapatan tertinggi dalam sejarah bola sepak, menerima gaji tahunan 177 juta pound (RM1 bilion) selain bonus dan pegangan saham 15 peratus dalam kelabnya.

Status baharu itu turut meletakkan kapten Portugal tersebut sebaris dengan legenda sukan dunia seperti Michael Jordan, Magic Johnson, LeBron James, Tiger Woods dan Roger Federer yang telah lama berada dalam kelompok bilionair.

Ronaldo berkata dia akan terus bermain selagi mampu kerana mahu meninggalkan padang dengan rasa puas selepas memberikan segalanya untuk karier gemilangnya.

“Saya masih ada semangat untuk ini. Keluarga saya kata sudah tiba masa untuk berhenti, tapi saya masih mahu menjaringkan 1,000 gol walaupun sudah dekat 900. Saya masih mampu membantu kelab dan negara, jadi kenapa tidak teruskan?

“Saya tahu masa saya di padang tidak lama, tapi baki tahun yang ada, saya mahu menikmatinya sepenuhnya,” kata Ronaldo. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN