PETALING JAYA: Pengurusan skuad Harimau Malaya tidak berdiam diri selepas menerima hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sebaliknya terus bergerak ke beberapa negara bagi menyelesaikan isu yang melibatkan pasukan kebangsaan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan, Rob Friend menjelaskan, beliau sendiri terpaksa berulang-alik ke Zurich, Switzerland dan Miami, Amerika Syarikat untuk bertemu pegawai FIFA serta barisan peguam antarabangsa dalam usaha mendapatkan penjelasan terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Kami mahu bersikap telus dan bekerjasama sepenuhnya dengan FIFA untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku. Kami juga mahu memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi.
“Saya ke Zurich dan Miami beberapa kali, bertemu wakil FIFA serta pasukan undang-undang bagi membuktikan kami bertindak dengan niat baik,” katanya.
Friend yang dilantik pada awal tahun ini bagi mengetuai transformasi baharu revolusi skuad Harimau Malaya menegaskan beliau hanya terbabit secara langsung dalam isu tersebut selepas FIFA memulakan siasatan rasmi terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan pada 22 Ogos lalu.
Menurutnya, sebagai CEO pasukan kebangsaan, tanggungjawab beliau adalah mempertahankan pemain yang telah berjuang untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Saya bertanggungjawab melindungi pemain-pemain kami. Mereka sudah berjuang untuk negara ini, mereka berdarah Malaysia dan tugas saya ialah mempertahankan maruah pasukan serta integriti bola sepak Malaysia,” tegasnya.
Terdahulu, FAM bersama tujuh pemain warisan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Susulan keputusan itu, FAM serta pemain terbabit dikenakan denda dan penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Difahamkan, FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA, dan keputusan berhubung permohonan tersebut dijangka diketahui pada 30 Oktober ini. – UTUSAN