Rexy mahu dua emas di Sukan SEA

Rexy mahu dua emas di Sukan SEA

Rexy Mainaky (kanan) bersama Datuk Seri Lee Chong Wei Ketika ditemui selepas mesyuarat Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menetapkan sasaran sekurang-kurangnya dua pingat emas buat skuad badminton negara pada temasya Sukan SEA di Thailand, Disember ini.

Beliau berkata, sasaran itu dianggap realistik berdasarkan kekuatan semasa pasukan, terutama dalam acara beregu campuran dan beregu wanita yang menunjukkan prestasi lebih stabil ketika ini.

“Kita perlu lihat kekuatan lawan seperti Indonesia dan Thailand yang turun dengan pasukan penuh, jadi kalau mahu dua atau tiga emas, kita kena benar-benar bekerja keras,” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini hari ini.

Menurutnya, peluang skuad negara lebih cerah dalam acara beregu campuran yang menampilkan juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta beregu wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah jika kedua-duanya berada dalam tahap kecergasan terbaik.

Rexy turut menjelaskan, secara keseluruhan sasaran pasukan ialah ‘dua setengah pingat’ yang bermaksud antara dua hingga tiga emas bergantung kepada prestasi semasa pemain.

“Dua setengah itu maksudnya boleh jadi dua emas penuh, atau mungkin tiga jika rezeki berpihak kepada kita.

“Kalau Pearly-Thinaah dalam keadaan baik, mereka boleh menang emas, begitu juga Tang Jie-Ee Wei yang kita anggap 50-50 sebab lawan utama mereka ialah Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang bermain di laman sendiri,” katanya.

Rexy bagaimanapun mengingatkan bahawa pencapaian di temasya dwitahunan itu banyak bergantung kepada tahap fizikal pemain, memandangkan jadual yang padat termasuk Jelajah Dunia Akhir yang berlangsung hanya beberapa hari selepas Sukan SEA.

Beliau menegaskan setiap pemain yang disenaraikan perlu komited sepenuhnya dan memberikan persembahan terbaik biarpun menghadapi tekanan jadual yang ketat.

“Kalau pemain sudah komited mahu bermain di Sukan SEA, mereka mesti beri yang terbaik dan saya sendiri akan pastikan semua jurulatih serta pemain duduk semeja untuk tetapkan fokus,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN