PETALING JAYA: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil sekali lagi membuktikan ketahanan dan semangat juang luar biasa apabila menamatkan saingan Spartan Race Malaysia 2025 yang berlangsung di Gamuda Cove, baru-baru ini.
Pada usia 55 tahun, baginda terus mencetus inspirasi kepada rakyat Malaysia melalui komitmen tinggi terhadap gaya hidup sihat serta keazaman untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan mental.
Dikenali dengan minat mendalam terhadap aktiviti kecergasan, Tuanku Lailatul Shahreen mula menyertai Spartan Race sejak tahun 2016 dan kekal konsisten mengambil bahagian setiap tahun.
Bagi baginda, perlumbaan lasak itu bukan sekadar pertandingan, sebaliknya satu ujian watak dan disiplin diri.
“Spartan Race istimewa kerana ia bukan sekadar pertandingan, tetapi ujian watak seseorang. Setiap perlumbaan memaksa diri kita keluar daripada zon selesa dan menjadikan kita lebih kuat setiap kali menamatkannya,” katanya.
Baginda turut menegaskan bahawa faktor usia tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan kecergasan, sebaliknya perlu dijadikan motivasi untuk kekal aktif.

“Saya suka mencabar diri dan membuktikan bahawa usia hanyalah angka. Kecergasan memberi tenaga serta kekuatan minda, dan saya harap ia dapat menginspirasi orang lain untuk mula melangkah, tidak kira usia mereka,” ujarnya.
Baginda mengakui beberapa halangan seperti Sandbags, Slip Wall, The Bender, Tyrolean Traverse dan Stairway to Sparta merupakan antara cabaran paling sukar, namun setiap halangan yang dilalui menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna.
Bagi memastikan tahap kecergasan berada pada tahap terbaik, baginda menjalani latihan secara konsisten selain menekankan persediaan mental sebagai kunci utama kejayaan.
“Kadang-kadang kita gagal, kadang-kadang berjaya, tetapi setiap kali menamatkan perlumbaan, kita pasti lebih kuat daripada ketika bermula.
“Spartan bukan semata-mata tentang kekuatan otot, tetapi tentang ketabahan minda. Kita perlu terus melangkah walaupun keletihan, kerana itulah yang menjadikan kejayaan di garisan penamat begitu bermakna,” jelasnya.-UTUSAN