PETALING JAYA: Proton terus memperkukuh keupayaan selepas jualannya di Sabah bagi menyokong permintaan tinggi terhadap model Proton X50 yang kini menerajui segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) negara dengan jualan sebanyak 2,994 unit pada September lalu.
Langkah itu dilaksanakan menerusi peranan penting Pusat Komponen Serantau (RPC) di Kota Kinabalu yang menjadi tulang belakang logistik Proton di Malaysia Timur, dalam memastikan penghantaran alat ganti dilakukan dengan lebih pantas dan efisien.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang berkata, pusat berkenaan berupaya memenuhi sehingga 6,000 pesanan pengedar setiap bulan, memastikan pelanggan di Sabah mendapat perkhidmatan segera dengan masa henti minimum.
“Sabah kekal sebagai pasaran utama pertumbuhan Proton di Malaysia Timur. Hab alat ganti kami di Kota Kinabalu mempunyai kemampuan tinggi bagi menjamin perkhidmatan yang cepat dan boleh dipercayai untuk pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Terletak di kawasan komersial Inanam, RPC itu berkeluasan 28,000 kaki persegi dan berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran alat ganti bagi seluruh Sabah serta utara Sarawak.
Ia mengendalikan purata 15 hingga 20 kontena sebulan, mampu memunggah sehingga enam kontena serentak, dan mengekalkan stok bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga tiga setengah bulan.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, fasiliti itu turut membolehkan penghantaran alat ganti penting dilakukan dalam tempoh sehari, manakala pengisian semula stok rutin diselesaikan dalam dua hari sekali gus memperkukuh keupayaan rangkaian selepas jualan Proton di rantau ini.
“Malaysia Timur menyumbang 20.6 peratus daripada jumlah jualan Proton di seluruh negara pada tahun ini, didorong oleh permintaan kukuh terhadap model Saga (15,438 unit), Persona (2,496 unit) dan X50 (1,649 unit) setakat tahun ini.
“Bagi mengekalkan prestasi positif itu, Proton turut melaksanakan Program Kecekapan Operasi PROTON (POE) di seluruh negeri Sabah. Program tersebut menetapkan piawaian baharu terhadap kecekapan teknikal, kawalan stok serta kualiti khidmat pelanggan di pusat servis,” katanya.
Prestasi pengedar dinilai setiap bulan dan dikongsi secara terbuka bagi menggalakkan peningkatan berterusan serta persaingan sihat.
Tambah Zhang, pengedar terbaik akan menerima Anugerah Pengedar 5 Bintang, di samping penyertaan dalam sesi perkongsian ilmu suku tahunan untuk menyebar amalan terbaik.
“Matlamat kami ialah memastikan setiap pemilik Proton mendapat sokongan yang cepat dan berkesan, selaras dengan komitmen kami meningkatkan pengalaman pelanggan di Malaysia Timur,” tambahnya. – UTUSAN










