Pos Malaysia semarakan Hari Sukan Negara 2025

Pos Malaysia semarakan Hari Sukan Negara 2025

SAMBUTAN Hari Sukan Negara edisi lepas berlangsung meriah dan kali ini Ipoh, Perak menjadi destinasi bagi sambutan peringkat kebangsaan tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan penuh rasa bangga menyokong Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2025 yang bertemakan Malaysia Aktif melalui penganjuran acara terbesar di Ipoh dan Pulau Pinang.

Acara kemuncak HSN 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Penganjuran di Ipoh dijangka mampu menarik lebih 300,000 penyertaan warga Perak serta 5.2 juta peserta di seluruh negara, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

HSN 2025 menawarkan pelbagai aktiviti sukan secara percuma termasuk berbasikal, larian, berjalan, street soccer, memanah, gusti lengan, frisbee, lompat tali, cup stacking dan banyak lagi.

Empat acara utama turut disediakan iaitu Kayuhan MADANI (35km), Larian Ria MADANI (5km), Berjalan Ria MADANI (3.5km) serta program 1,500 langkah sempena Hari Berjalan Sedunia.

Dalam pada itu, pelancaran HSN 2025 di Pulau Pinang akan disempurnakan oleh EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen.

Acara ini sekali lagi menekankan komitmen Pos Malaysia dalam menyokong gaya hidup sihat dan penyertaan seluruh rakyat Malaysia.

Sebanyak 15,000 helai baju larian disokong Pos Malaysia Berhad sebagai rakan strategik, sempena larian HSN 2025 di Ipoh dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer menegaskan penglibatan Pos Malaysia dalam Hari Sukan Negara 2025 mencerminkan peranan syarikat bukan sahaja dalam bidang logistik tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan komuniti dan gaya hidup sihat.

“Pos Malaysia berbangga dapat menyokong penganjuran acara berskala nasional yang mampu menyatukan rakyat daripada segenap lapisan dan latar belakang.

“Sebagai Rakan Strategik Logistik Rasmi bagi Hari Sukan Negara 2025, kami berbesar hati kerana dapat memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan semua barangan logistik untuk negeri Perak dan Pulau Pinang, termasuk pengagihan baju larian, aktiviti peruncitan, aktivasi kerjasama penjenamaan bersama Kementerian Belia dan Sukan, serta penyertaan dalam pelepasan rasmi acara larian.

“Hari Sukan Negara merupakan platform penting untuk membina masyarakat yang lebih sihat, bersatu padu, dan bersemangat. Selaras dengan fokus kami dalam pembinaan komuniti dan mempromosikan gaya hidup sihat.

“Pos Malaysia mengambil peluang ini untuk memberi sumbangan yang bermakna. Kami bersemangat untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang lebih baik sejajar dengan aspirasi negara ke arah kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” kata Charles.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN