Pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak pernah goyah

Pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak pernah goyah

ANWAR Ibrahim bersalaman bersama tetamu yang hadir pada Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2025 di Mandarin Oriental di sini hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berdiri teguh bersolidariti bersama rakyat Palestin serta semua yang memperjuangkan keamanan sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak pernah goyah, malah negara ini terus menyokong semua usaha bagi menamatkan penderitaan rakyat Gaza.

Tegasnya, Malaysia juga mengalu-alukan semua usaha menegakkan hak rakyat Palestin untuk hidup secara aman serta merdeka.

“Malaysia berdiri teguh bersama semua peserta misi Global Sumud Flotilla yang berani dan berdedikasi, serta semua pihak yang berusaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan. 

“Ini termasuk perjuangan bagi menegakkan hak rakyat Palestin dan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat,” katanya ketika berucap pada Forum Khazanah Megatrend 2025, di sini, hari ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi flotilla itu telah dibebaskan Israel pada Sabtu lalu.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menyambut baik perkembangan positif terhadap cadangan gencatan senjata terbaharu yang membawa sinar harapan baharu kepada rakyat Gaza selepas berbulan-bulan menjadi mangsa penindasan.

“Kita menyokong penuh setiap langkah ke arah keamanan. Dunia mesti berani menghentikan pertumpahan darah dan menegakkan kesucian nyawa. Bantuan kemanusiaan juga mesti disalurkan tanpa sebarang halangan kepada yang memerlukan” katanya.

Anwar menegaskan, tragedi di Gaza akan terus berbekas dalam nurani kemanusiaan sejagat, dan keamanan berkekalan hanya boleh dicapai dengan keberanian moral serta iltizam politik yang jujur daripada masyarakat antarabangsa.

“Keamanan tidak akan tercapai dalam sekelip mata, tetapi ia mesti bermula dengan keberanian untuk menghentikan pembunuhan dan menjunjung maruah kemanusiaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN