Peluang Verstappen cabar gelaran dunia kelima

Peluang Verstappen cabar gelaran dunia kelima

Max Verstappen. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Hasrat Max Verstappen untuk memburu kejuaraan dunia kelima Formula Satu (F1) kembali menyala selepas Red Bull membawa pakej naik taraf baharu menjelang Grand Prix (GP) Mexico hujung minggu ini.

Selepas memenangi tiga daripada empat perlumbaan terakhir, pelumba Belanda itu kini hanya dipisahkan 40 mata di belakang pendahulu, Oscar Piastri, dengan lima pusingan baki musim ini.

“Kami sudah kembali pada prestasi sebenar. Naik taraf Red Bull banyak membantu dari segi kestabilan kereta dan cengkaman, jadi saya yakin kami boleh terus memberi tekanan dalam perebutan gelaran,” kata Verstappen.

Pakej naik taraf yang diperkenalkan di Monza sebelum ini menjadi titik kebangkitan Red Bull, namun skeptisisme masih wujud memandangkan dua litar tersebut bersifat daya seretan rendah yang tidak mencabar kekuatan McLaren.

Menjelang perlumbaan di altitud tinggi Autodromo Hermanos Rodriguez, Red Bull mengesahkan pengubahsuaian pada bahagian lantai dan sayap tepi (edge wing) bagi menambah daya tekan setempat serta menstabilkan aliran udara.

“Reka bentuk baharu memberikan peningkatan kecil terhadap daya tekan dan membantu penyejukan jentera, selain mengekalkan kestabilan aerodinamik ketika memecut,” kata Red Bull.

Beberapa pasukan lain seperti Ferrari, Alpine, Racing Bulls, Williams dan Sauber turut melakukan ubah suai serupa demi mengawal suhu jentera dalam keadaan udara nipis di Mexico City.

Dengan jentera RB21 kini lebih mantap dan keyakinan Verstappen semakin tinggi, litar beraltitud tinggi itu dijangka menjadi medan penting untuk menghidupkan semula *drama perebutan takhta dunia F1 musim ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN