Pelajar TAR UMT rangkul tiga anugerah pada PAASWE 2025

Pelajar TAR UMT rangkul tiga anugerah pada PAASWE 2025

TAR UMT
pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina (Kepujian) dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology menang tiga anugerah di Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) ‘Annual Architecture Student Works Exhibition’ (PAASWE) 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Idea tunggal kolektif 49 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina (Kepujian) dari  Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) telah  diterjemahkan kepada reka bentuk pameran yang cemerlang, dan membawa  kepada kemenangan tiga anugerah di Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) ‘Annual  Architecture Student Works Exhibition’ (PAASWE) 2025. 

Dipamerkan dari 8 – 12 Oktober 2025 di pusat membeli-belah 1 Utama, pameran TAR UMT yang bertajuk ‘Islands in Resonance’ menonjol di antara 20 pameran yang  lain, dan telah dianugerahkan anugerah ‘Best Bench’, anugerah ‘Best Use of  Materials (Jury Citation)’, dan emas dalam anugerah ‘Best Booth’

PAASWE anjuran PAM adalah acara tahunan yang bertujuan untuk mewujudkan  kesedaran awam tentang industri seni bina dan arkitek di Malaysia, dan  menyediakan platform untuk pelajar seni bina dan arkitek mempamerkan hasil  kerja mereka kepada orang ramai. 

Menurut Desmond Leong Li Heng, salah seorang pelajar peserta dari TAR UMT,  konsep pameran mereka menggambarkan keperibadian dalam kesatuan, sama  seperti pulau-pulau dalam sebuah kepulauan. Konsep ini secara langsung  mencerminkan tema pertandingan, ‘Archipelago: Shared Roots of Malaysian  Architecture’, dan diilhamkan oleh pengalaman pasukan itu sendiri bekerja untuk  mencapai kesepaduan sambil menghormati sumbangan unik setiap ahli. 

“Saya rasa cabaran terbesar ialah mencapai persetujuan di kalangan ahli kumpulan  mengenai idea atau konsep reka bentuk untuk pertandingan ini.

“Masa kira-kira dua minggu untuk membuat keputusan mengenai reka bentuk, dan  dua minggu lagi untuk menyiapkan pembinaannya, tetapi semua kerja keras dan  usaha itu membuahkan hasil pada akhirnya,” ujar Desmond. 

Pendekatan unik, idea kreatif, dan reka bentuk fungsian pasukan itu diterima baik  oleh panel hakim yang terdiri daripada Ahli Majlis PAM dan arkitek profesional dari  seluruh negara. 

“Berbanding dengan pameran-pameran lain, reka bentuk kami menunjukkan  komponen bangku yang praktikal dan kami berjaya menonjolkan ciri-ciri unik bahan  tajaan iaitu jubin bumbung tanah liat dan papan simen gentian. Saya percaya  butiran-butiran mendapat perhatian panel hakim dan ini telah membantu pameran kami menonjol daripada yang lain,” kata Koh Chua Ivan, ketua pasukan pelajar. 

Pensyarah dari Fakulti Alam Bina (FOBE), Megat Ariff Shah Megat Omar, berbangga bahawa pelajarnya dapat mengambil idea kreatif mereka dan  menterjemahkannya menjadi struktur yang memenangi anugerah. 

“Kumpulan pelajar ini menunjukkan ketabahan dan fleksibiliti dalam menangani  pelbagai cabaran yang dihadapi mereka, seperti pengurusan bajet, perolehan  bahan, dan isu-isu reka bentuk, sambil mengekalkan visi reka bentuk mereka. Para  hakim amat kagum dengan pendekatan, kreativiti, konsep, dan aplikasi praktikal  pameran mereka, terutamanya bangku dan pemilihan bahan. 

“Pertandingan seperti PAASWE adalah penting untuk perkembangan pelajar  kerana ia membolehkan pelajar mendapatkan pengalaman kerja berpasukan,  mempraktikkan komunikasi yang jelas dan menyelesaikan masalah dan cabaran  secara kreatif.

“Pendekatan ini mungkin lebih sukar untuk diterapkan melalui kerja  kursus biasa sahaja. Melalui pendedahan kepada Kerjasama berpasukan ini, pelajar  akan bersedia untuk menangani cabaran dalam industri apabila mereka telah  bekerja,” jelas Megat. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN