KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus menampilkan aksi meyakinkan apabila mara ke suku akhir Terbuka Arctic selepas menewaskan wakil Indonesia, Febriana Kusuma-Meilysa Puspitasari di Vantaa, Finland hari ini.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan negara itu tidak berdepan tentangan sengit apabila mencatat kemenangan 21-15, 21-13 dalam masa hanya 38 minit.
Kemenangan itu juga menegaskan dominasi Pearly-Thinaah ke atas pasangan muda Indonesia tersebut selepas turut menewaskan mereka pada dua pertemuan sebelum ini tahun ini.
Mereka dijangka berdepan cabaran sengit di suku akhir apabila bakal menentang sama ada gandingan Perancis, Margot Lambert-Camille Pognante atau pasangan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun.
Sementara itu, pasangan profesional campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tidak berpeluh untuk mengikuti jejak langkah mereka ke suku akhir.
Gandingan berpengalaman itu hanya mengambil masa 19 minit untuk menumpaskan pasangan campuran Itali-England, Innocenzo Santoro-Karen Feng dengan keputusan 21-2, 21-5.
Aksi mantap itu dianggap sebagai amaran awal kepada pencabar lain menjelang pertembungan getir menentang beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada suku akhir. – UTUSAN