PARLIMEN: Sistem APSS mula beroperasi Disember ini

PARLIMEN: Sistem APSS mula beroperasi Disember ini

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal melaksanakan Sistem Saringan Penumpang Lanjutan (APSS) mulai Disember ini, satu langkah baharu yang membolehkan kerajaan melakukan pemeriksaan awal terhadap pelawat asing sebelum mereka tiba di pintu masuk negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, penggunaan sistem itu membolehkan pasukan penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen mengenalpasti pelancong asing tergolong berisiko tinggi lebih awal dan berkesan.

Katanya, saringan itu membolehkan pasukan penguatkuasan mengenalpasti sebarang salah laku termasuk penyalahgunaan pas dan visa.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan APSS yang dijadual beroperasi mulai Disember ini. Melalui sistem ini, tapisan dan penilaian awal terhadap pelawat asing dapat dilaksanakan sebelum mereka tiba di Malaysia.

“Ia bagi memastikan hanya individu mempunyai kriteria keselamatan dan kelayakan dibenar masuk negara ini.

“Jadi pelaksanaan APSS dijangka akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan imigresen yang membolehkan pengesanan awal pelancong berisiko tinggi serta mengurangkan risiko penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan kemudahan visa jangka panjang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN – Tenggara) yang mahu KDN menjelaskan mengenai penambahbaikan sedang dilaksanakan sebelum pelawat asing tiba di pintu masuk negara.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Hasnizan Harun (PN–Hulu Selangor) berhubung kawalan keselamatan menerusi sistem bersepadu, beliau menjelaskan semua maklumat peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) direkod di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan disambungkan terus ke Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Tapisan keselamatan terhadap peserta MM2H dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum sebarang kelulusan diberikan. Hanya ejen berdaftar dengan MOTAC dibenarkan menguruskan permohonan dan semua maklumat disimpan dalam pangkalan data bersepadu bagi tujuan pemantauan.

“Langkah ini memastikan setiap urusan dijalankan secara sah, berintegriti dan memenuhi keperluan keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN