Pandelela gagal pertahan emas Terbuka Malaysia

Pandelela gagal pertahan emas Terbuka Malaysia

Pandelela Rinong beraksi dalam acara final 10 meter platform wanita Terjun Terbuka Malaysia 2025 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong untuk mempertahankan pingat emas acara final 10 meter (m) platform wanita tidak kesampaian apabila sekadar meraih perak pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu terpaksa akur selepas wakil Atlet Neutral (NAB), Ekaterina Beliaeva mempamerkan terjunan lebih kemas untuk muncul juara dengan kutipan 252.20 mata.

Pandelela yang beraksi dengan penuh berhati-hati sepanjang saingan, menamatkan aksi di tempat kedua dengan catatan 244.60 mata.

Pingat gangsa menjadi milik penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj yang mengumpul 225.60 mata selepas menunjukkan peningkatan ketara pada terjunan terakhir.

Eilisha yang baru berusia 20 tahun tetap berpuas hati dengan pencapaian podium tersebut walaupun mengakui ada beberapa kekurangan dalam terjunannya.

“Apa pun saya bangga dengan diri sendiri dan berpuas hati dengan prestasi saya hari ini. Kekurangan sedikit itu mungkin berlaku pada aksi final, tetapi saya tidak menghukum diri sendiri. Saya rasa lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat di sini, hari ini.

Untuk rekod, Pandelela memenangi emas acara sama pada edisi tahun lalu dengan catatan 252.80 mata.

Sementara itu, dalam acara 3m papan anjal lelaki, penerjun berpengalaman negara, Muhammad Syafiq Puteh turut berputih mata apabila terlepas emas pada saat akhir.

Syafiq yang mendahului lima pusingan awal akhirnya dipintas oleh wakil NAB, Gennaddi Fokin yang muncul juara dengan kutipan 374.60 mata, manakala Syafiq sekadar meraih perak selepas mengumpul 362.95 mata.

Penerjun berusia 30 tahun itu bagaimanapun menganggap prestasinya masih memuaskan walaupun ada beberapa kesilapan kecil dalam terjunan akhir.

“Prestasi hari ini, untuk final, Alhamdulillah saya dapat buat lebih baik daripada pusingan awal. Cuma ada satu atau dua terjunan yang tidak begitu menjadi dan itu sedikit mengecewakan saya.

“Saya rasa terjunan kelima menjadi punca utama apabila saya buat sedikit kesilapan dan ketinggalan mata dengan atlet Rusia. Itulah sebabnya saya tidak dapat mengekalkan kedudukan di depan,” kata Syafiq.

Pingat gangsa pula menjadi milik penerjun muda negara, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim yang mencatat 338.95 mata untuk menamatkan saingan di tempat ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN