PETALING JAYA: Jawatankuasa Penganjur Tempatan bagi Sukan Solidariti Islam 2025 di Riyadh secara rasmi melancarkan slogan edisi tahun ini, ‘One Nation’, iaitu ungkapan yang mencerminkan semangat perpaduan, solidariti dan nilai bersama dalam kalangan masyarakat dunia Islam melalui kekuatan sukan.
Temasya edisi keenam itu yang bakal berlangsung dalam masa 30 hari yang dijadualkan bermula pada 3 hingga 21 November, diikuti dengan majlis pembukaan rasmi pada 7 November, membabitkan lebih 3,000 atlet daripada 57 negara.
Edisi kali ini menyaksikan 23 acara sukan di lima venue utama iaitu Stadium Bandar Putera Faisal bin Fahad, Kompleks Olimpik Putera Faisal bin Fahad, Boulevard Riyadh City, Al Janadriyah dan The Sports Boulevard.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tertinggi Tuanku Putera Fahad Jalawi Al Saud berkata slogan ‘One Nation’ mencerminkan makna yang lebih mendalam di sebalik penganjuran temasya sukan itu.
“Ia lebih daripada sekadar temasya sukan, ia mesej perpaduan yang menyatukan dunia Islam melalui nilai bersama dan solidariti.
“Dengan sokongan berterusan daripada kepimpinan bijaksana kami, Kerajaan Arab Saudi tetap komited untuk memeluk dunia Islam dan menonjolkan nilai-nilai yang mengikat kita bersama.
“Tidak kira betapa sengitnya pertandingan, kita berhimpun dengan keyakinan bahawa kita adalah satu bangsa,” katanya.
Atlet akan bertanding dalam 23 acara sukan termasuk dua sukan para, dengan perlumbaan unta serta e-sukan membuat penampilan sulung pada temasya kali ini.
Antara acara sukan yang dipertandingkan ialah bola baling, bola keranjang 3×3, renang, lawan pedang, olahraga, Muay Thai, taekwondo, bola tampar, perlumbaan unta (pertama), ping pong, karate, gusti, futsal, angkat berat, judo, duathlon, ekuestrian, tinju, wusyu, e-sukan (pertama) dan jujitsu.
Sukan para pula merangkumi angkat berat para dan olahraga para.-UTUSAN