MEXICO CITY: Pelumba McLaren, Lando Norris merancang untuk mengekalkan pendekatannya yang santai dan fokus kepada dirinya sendiri selepas mengambil alih kedudukan pendahulu kejuaraan hasil kemenangan di Grand Prix (GP) Mexico, kelmarin.
Norris meraih kemenangan bergaya dengan kelebihan 30 saat di hadapan pemandu Ferrari, Charles Leclerc manakala tempat ketiga dihuni oleh pelumba Red Bull, Max Verstappen.
Itu merupakan kemenangan pertama Norris di Mexico dan yang ke-10 dalam kariernya sekaligus mengangkatnya ke 357 mata dalam perebutan kejuaraan, satu mata di hadapan rakan sepasukannya, Piastri.
Norris kini menduduki tangga teratas buat kali pertama dalam tempoh enam bulan sejak GP Arab Saudi pada April lalu.
Berbaki empat perlumbaan, Norris kini berada 36 mata di hadapan Verstappen yang sedang berada dalam prestasi terbaik selepas meraih enam podium berturut-turut untuk mengurangkan jurang 104 mata yang dimiliki Piastri.
“Bagi saya, ia satu perlumbaan pada satu masa. Saya gembira dan fokus kepada diri saya sendiri. Saya hanya menundukkan kepala dan buat hal saya sendiri.
“Setakat ini ia berkesan untuk saya, jadi saya gembira tapi perlumbaan ini luar biasa. Saya hanya perlu pandang ke hadapan dan fokus pada apa yang saya lakukan.
“Ia agak mudah dan itu yang saya mahukan. Permulaan yang baik, larian yang baik dan pusingan pertama yang baik, dari situ, saya boleh teruskan.
“Saya hanya kekal tenang dan ia membantu saya mendapat permulaan yang baik dan itu yang terbaik. Bagi saya, ini menakjubkan dan saya sangat gembira, kemenangan pertama saya di Mexico dan betapa indahnya untuk menang di sini,” katanya.- AFP










