Nelayan lega elaun sara hidup kekal

Nelayan lega elaun sara hidup kekal

NELAYAN mengumpul hasil tangkapan di Jeti Pengkalan Nelayan Kuala Lukut Kechil, Port Dickson. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Golongan nelayan di daerah ini lega apabila elaun sara hidup nelayan sehingga RM300 sebulan dikekalkan dalam Belanjawan 2026 seperti yang diumumkan semalam.

Salah seorang nelayan, Muhammad Zulfiqar Hazim, 31, dari Kampung Paya di sini berkata, bantuan berkenaan selama ini telah banyak membantu bagi menampung keperluan kos hidup bagi menyara ibu, isteri serta seorang anak yang masih kecil.

“Pekerjaan nelayan ini penting kerana tanpa mereka turun ke laut, bekalan ikan akan kurang serta mampu memberi kesan terhadap harga hasil laut. Namun, bukan setiap hari nelayan dapat ke laut lebih-lebih lagi semasa musim ribut.

“Jadi, sememangnya saya amat berharap agar bantuan ini bukan hanya kekal, bahkan dapat meningkat lagi pada masa akan hadapan bagi membantu meringankan beban menampung kos harian kami,” katanya di Kuala Lukut, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan elaun tersebut dan insentif hasil tangkapan sebanyak RM160 juta.

Beliau yang juga Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan tetap mengekalkan diesel bersubsidi RM1.65 seliter khusus untuk nelayan.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Sia Ban Teck, 52, berkata, bantuan berkenaan begitu dihargai apatah lagi dia mempunyai anak yang masih bersekolah.

“Kalau kerajaan dapat beri lebih banyak, lebih baik. Namun buat masa ni, saya lega bantuan ini masih diteruskan” katanya.

Bagi R. Ravinthiran, 39, pula, pengekalan elaun berkenaan amat menggembirakan, namun dalam keadaan cuaca tidak menentu kini golongan nelayan tidak dapat turun ke laut lebih kerap.

“Elaun ni sangat baik tetapi sekiranya dapat ditambah lagi nilainya lebih baik kerana atas pelbagai faktor termasuk keadaan ribut serta angin kencang yang makin kerap melanda di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN