PETALING JAYA: Yang di-pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan pengurniaan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Emeritus Dr. Mohamad Abd. Razak ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Penarikan semula darjah kebesaran yang diwartakan dalam Warta Kerajaan Jilid 58 bertarikh 28 April 2005 itu dibuat atas titah baginda bagi menjaga kebesaran serta kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
“Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja di Negeri Sembilan,” kata Pendaftar Darjah Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mohamad Abd. Razak menjadi alumni UKM pertama dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang telah tamat tempoh lantikan pada 31 Oktober 2021.
Mohamad merupakan Pakar Bedah Ortopedik terlatih yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dan Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari Fakulti Perubatan UKM. – UTUSAN

 
								 
											









