ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pasukan keduanya ketika menewaskan UM Damansara United 5-3 pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA, semalam
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, walaupun ada kesilapan mudah yang dilakukan sehingga gawang dibolosi, ia tidak mematahkan semangat pemain untuk memburu jaringan.
Katanya, perlawanan itu juga menjadi medan bagi menguji kapasiti skuad Harimau Selatan dengan menurunkan kesebelasan utama yang berbeza pada perlawanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), Selasa lalu.
“Saya menurunkan skuad yang berbeza ketika menentang FC Machida Zelvia untuk menguji kapasiti skuad JDT. Pada 25 minit pertama, mereka beraksi dengan baik dan berjaya menjaringkan tiga gol.
“Selepas itu, mereka Mula bermain sedikit relax dan mula terlepas beberapa peluang gol selain kurang melakukan tekanan dan tidak mengekalkan intensiti permainan seperti yang dilakukan awalnya.
“Masuk babak kedua, kita tampil dengan taktikal dan pendekatan yang berbeza selain mencuba pemain muda termasuk daripada JDT II. Apa pun, yang penting di sini kita berjaya meraih kemenangan dan melangkah ke pusingan seterusnya,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, Romel Morales menjaringkan hatrik manakala Manuel Hidalgo dan Heberty Fernandes menjaringkan satu gol.
Munoz berkata, satu perkara yang dia kurang berkenan tentang perlawanan itu apabila pasukan membenarkan gawang dibolosi tiga kali.
Bagi dirinya, salah satu penanda aras bagi pasukan yang mantap adalah pasukan yang mampu mengekang pihak lawan daripada membuat jaringan.
“Salah satu gol yang dilepaskan pada perlawanan itu berpunca daripada kesilapan mudah penjaga gol, Christian Abad. Melakukan kesilapan di atas padang adalah lumrah permainan, dan kita perlu belajar daripadanya untuk tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut.
“Tidak dinafikan beraksi dengan skud pertama, tekanannya berbeza dan saya tahu kualiti yang ada pada dirinya. Dalam situasi seperti ini, jurulatih perlu memberi sokongan moral dan keyakinan buatnya untuk menjadi lebih baik dan beraksi penuh keyakinan,” katanya.-UTUSAN