TAMPIN: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, di sini, ditutup selama 20 hari bermula Isnin lalu hingga 26 Oktober ini berikutan penularan kes influenza A.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Fadhil Hassan berkata, wabak berlaku di MRSM berkenaan minggu lalu membabitkan lapan orang pelajar berusia 13 hingga 15 tahun yang dikesan dengan gejala demam, batuk serta sakit tekak.
“Pada 2 Oktober lalu, Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Daerah Tampin telah menerima empat notifikasi penyakit Influenza A melalui sistem e-Borang Notifikasi PKD Tampin melibatkan beberapa klinik swasta di daerah Tampin.
“Verifikasi kes bersama pihak sekolah mendapati ada tambahan empat orang pelajar yang telah dirawat sebagai Influenza A daripada klinik swasta yang lain, menjadikan keseluruhan sebanyak lapan kes Influenza A dikesan dalam kalangan pelaja,” katanya hari ini.
Ujar Fadhil lagi, kesemua pelajar telah diarahkan pulang dan hanya tinggal pelajar tingkatan lima sahaja namun secara keseluruhannya kes masih terkawal di daerah ini. – UTUSAN