PUTRAJAYA: Malaysia hampir menoktahkan kelompok miskin tegar apabila hanya 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah dikenal pasti masih berada dalam kategori itu.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia satu pencapaian besar berbanding lebih 27,000 isi rumah miskin tegar direkodkan pada 2020.
Beliau berkata, pencapaian itu diraih hasil keberkesanan pelbagai inisiatif kerajaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan memperkukuh jaringan perlindungan sosial selaras kerangka Ekonomi Madani.
“Data terbaru membuktikan dasar peningkatan pendapatan, reformasi pasaran buruh dan bantuan sosial yang disasarkan oleh kerajaan mula memberi kesan nyata kepada rakyat.
“Kita hampir menoktahkan kemiskinan tegar, hanya tinggal 0.09 peratus isi rumah. Ini hasil pendekatan kerajaan meningkatkan gaji, peluang pekerjaan dan intervensi sosial yang lebih tepat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan kini menumpukan usaha untuk mengeluarkan baki 7,000 isi rumah yang masih terperangkap dalam kitaran kemiskinan menerusi pelbagai program bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Cuma kita perlu akui, akan sentiasa ada kemungkinan isi rumah baharu jatuh miskin disebabkan kehilangan kerja atau faktor luar jangka,” katanya.
Katanya, kerajaan turut memperkukuh jaringan perlindungan sosial supaya bantuan dan peluang ekonomi sampai kepada golongan paling memerlukan, khususnya di kawasan pedalaman serta bandar berpendapatan rendah.
Selain itu, katanya, usaha membasmi kemiskinan tidak hanya bergantung kepada bantuan tunai semata-mata, sebaliknya turut merangkumi mobiliti sosial melalui pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan lebih baik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). – UTUSAN