Misi wajib menang hoki remaja untuk memburu kedudukan podium

Misi wajib menang hoki remaja untuk memburu kedudukan podium

NOR SAIFUL ZAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja negara perlu menewaskan juara tiga kali, India bagi menghidupkan peluang untuk beraksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada aksi terakhir kumpulan Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, petang ini.

Misi wajib menang itu menjadi lebih getir buat Young Tigers setelah India turut memburu kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan untuk beraksi di pentas final SOJC edisi ke-13 ini.

Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, para pemain diingatkan supaya tidak mensia-siakan sebarang peluang gol khususnya dari pukulan sudut penalti bagi mencipta kemenangan.

Tambahnya, pemain juga perlu bermain secara berpasukan dengan baik dan bijak membaca permainan khususnya ketika bertahan dalam kawasan 25 meter dan tidak melepaskan gol dengan mudah.

“Melawan India, kami akan menggunakan taktikal yang sama dan tidak akan memandang remeh kelebihan yang mereka ada.

“Kami perlu bermain dengan kemampuan kami. Seperti Pakistan, kami tahu ia akan sukar, India mungkin juga menggunakan kepantasan mereka. Pemain perlu faham, sekiranya lawan bermain pantas, apakah yang terbaik bagi mengekang mereka?

“Kita juga perlu ambil iktibar daripada kekalahan 1-4 kepada Great Britain di mana kita ada peluang gol tapi gagal menyudahkannya. Ini adalah antara kelemahan ketara kami, tidak menjaringkan gol apabila peluang sudah terhidang,” ujarnya.

Young Tigers kini berada di tangga kelima dengan rekod satu menang, satu seri dan dua kalah untuk mengutip empat mata secara keseluruhan.

Nor Saiful Zaini berkata, keputusan tersebut menunjukkan masih banyak perkara yang perlu ditambah baik oleh pasukan sebelum menghadapi ujian sebenar pada kejohanan Piala Dunia.

“Mereka perlu pandai menyesuaikan diri dengan keadaan semasa di padang, terutamanya semasa serangan balas, apabila bola berada di luar permainan, dan juga semasa melakukan ‘marking’ di kawasan 25 meter.

“Saya rasa ini adalah aspek yang perlu mereka pelajari dan perbaiki dengan lebih baik,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN