MADRID: Pelumba Ducati, Marc Marquez tidak akan beraksi dalam Grand Prix (GP) Australia dan Malaysia dengan juara dunia itu dijangka kembali berlumba di GP Portugal, November ini.
Marquez menjalani pemeriksaan dengan pasukan perubatan di Hospital Ruber Internacional, Madrid didapati mengalami keretakan di pangkal tulang korakoid dan kecederaan ligamen pada bahu kanannya.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan lama pada lengan kanannya yang bertambah teruk dan tiada anjakan tulang yang ketara ditemui.
Dr. Samuel Antuna dan Dr. Ignacio Roger de Ona menasihatkan agar tidak menjalani pembedahan dan memilih proses pemulihan melalui rehat serta pengimobilisasian kawasan yang cedera.
“Nasib baik, kecederaan ini tidak serius tetapi penting untuk menghormati garis masa pemulihan. Matlamat saya adalah untuk kembali sebelum musim berakhir, tetapi tanpa tergesa-gesa melebihi saranan doktor.
“Kedua-dua matlamat peribadi saya dan pasukan telah dicapai, jadi sekarang keutamaan adalah untuk pulih dengan betul dan kembali pada tahap 100 peratus,” kata Marquez.
Kececeraan Marquez itu berlaku seminggu selepas dia memenangi gelaran dunia MotoGP ketujuhnya, yang pertama dalam tempoh enam tahun di GP Jepun.
Dia sebelum ini pernah mengalami kecederaan serius selepas tangan kanannya patah pada 2020 ekoran terlibat dalam kemalangan di GP Sepanyol. – AGENSI