PETALING JAYA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama sukan berbasikal di rantau ini apabila berjaya membida hak penganjuran Kejohanan Berbasikal Jalan Raya Asia 2029.
Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas mesyuarat lembaga pengurusan Kejohanan Asia di bawah Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) yang turut dipengerusikannya baru-baru ini.
“Saya gembira mengumumkan bahawa Malaysia telah berjaya memenangi bidaan untuk menganjurkan Kejohanan Berbasikal Jalan Raya Asia 2029.
“Dua negara lain turut menghantar bidaan, namun kita berjaya mengatasinya,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam penghargaan Petronas Le Tour de Langkawi di Subang Jaya, semalam.
Menurut Amarjit, kejayaan itu hasil perancangan jangka panjang ACC dalam memastikan kejohanan-kejohanan utama ditetapkan lebih awal agar penganjur mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan rapi.
“Sejak saya mengambil alih jawatan presiden ACC pada Februari lalu, saya mahu setiap kejohanan besar dirancang lebih awal.
“Dengan keputusan ini, Malaysia mempunyai masa empat tahun untuk menyediakan penganjuran yang terbaik,” jelasnya.
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Kejohanan Berbasikal Jalan Raya Asia ialah pada 2012 di Putrajaya, dan lokasi untuk edisi 2029 masih belum diputuskan.
Tahun ini, Malaysia turut mencatat satu lagi pencapaian apabila dipilih menganjurkan pusingan akhir Piala Dunia Trek UCI 2025, sekali gus mengembalikan siri dunia berprestij itu ke tanah air selepas kali terakhir dianjurkan pada 2001.
Sebelum 2017, kejohanan jalan raya dan trek Asia dianjurkan serentak oleh negara tuan rumah yang sama, namun kedua-duanya kini dipisahkan.
Malaysia telah menganjurkan Kejohanan Trek Asia sebanyak tiga kali sejak itu pada 2018, 2023 dan 2024 di Velodrom Nasional Nilai. – UTUSAN